ISU SEMASA (3 JULAI 2022)

Baru-baru ini, kita telah digemparkan dengan suatu isu mengenai dua pelanggan lelaki yang sedang memeluk bahu dan pinggang seorang wanita manakala terdapat ramai lagi lelaki di sekeliling mereka  yang menyokong dan bergelak ketawa bersama yang mana wanita tersebut merupakan seorang pemilik kedai air di salah sebuah kedai di Terengganu. Hal ini amatlah memalukan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Islam.
    Hal sebegini terjadi disebabkan oleh pemikiran serta ilmu agama si perempuan dan sang lelaki yang cetek dan mengikut nafsu serakah semata-mata. Cara pemakaian wanita itu sendiri  tidak mematuhi cara menutup aurat mengikut garisan syariat Islam. Misalnya, peniaga perempuan tersebut memakai pakaian yang ketat sehinggakan menampakkan bentuk badannya serta bertudung pendek di atas dada. Tambahan pula, para lelaki juga tidak menundukkan pandangan mereka sedangkan Islam mengajar kita untuk menundukkan pandangan, sebagaimana firman Allah dalam al-Quran al-Karim: 

قُلْ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ يَغُضُّوْا مِنْ اَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوْا فُرُوْجَهُمْۗ ذٰلِكَ اَزْكٰى لَهُمْۗ اِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌۢ بِمَا يَصْنَعُوْنَ
 
    Maksud: Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan
    memelihara kemaluannya; yang demikian itu, lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha
    Mengetahui apa yang mereka perbuat.

(Al-Nur : 30)


   Perkara ini bukan sahaja merosakkan nama Islam bahkan turut menjadi faktor utama tercetusnya masalah sosial dan keruntuhan moral  dalam kalangan masyarakat.
    Islam mengajar kita untuk mencari rezeki dengan cara yang halal. Andai kita berniaga dengan menggadaikan maruah kita demi mendapatkan keuntungan, cara ini amat menyeleweng dan jauh tersasar di sisi Islam. Tiada guna jika kita mendapat keuntungan yang melambung, namun menggunakan cara yang kotor. Ingatlah bahawa perniagaan itu merupakan satu ibadah, justeru bagaimana perniagaan ini akan mendapat berkat jika digauli dengan perkara maksiat?
    Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama yang betul sejak kecil supaya anak-anak tidak akan terdedah dengan gejala sosial yang tidak berpatutan. Misalnya, anak-anak perlu dibawa ke ceramah-ceramah agama, kem moral dan sebagainya untuk diberi pendedahan awal kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika ibu bapa tidak menekankan unsur rohani sejak anak-anak berada di bangku sekolah lagi, maka tidak mustahil suatu hari nanti isu ini akan berulang kembali malah yang paling membimbangkan apabila hal ini dianggap remeh bahkan dinormalisasi.
    Suka untuk saya mengajak para pembaca dan diri saya sendiri untuk sama sama kita mengimbau kembali bagaimana Rasulullah SAW bermati-matian mengangkat darjat wanita yang begitu rendah dipijak pada zaman jahiliah. Ketika itu, bayi bayi perempuan yang lahir terus dibunuh serta ditanam hidup hidup kerana malunya masyarakat ketika itu berwariskan wanita. 
    Namun kini, Islam mengangkat wanita setinggi-tingginya sehingga mereka mampu terbang tinggi menjadi tokoh-tokoh hebat sekali gus berperanan sebagai muslimah yang membanggakan ummah. Bahkan, wanita amat dipandang tinggi, dihormati serta disanjungi.
    Oleh itu, marilah kita para wanita untuk tetap menjaga kesucian ini kerana percayalah wanita solehah itu adalah sebaik-baik perhiasan. Jangan sesekali kita mahu tergolong dalam golongan wanita yang menjadi sebesar-besar fitnah akhir zaman. Tepuk dada, tanya iman, yang mana kita berkenan?

Comments

Popular Posts